Selasa, 9 April 2019

TRANSFORMASI SEKOLAH 2025 (TS25

Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Melalui TS25 adalah diharapkan sekolah yang terlibat berupaya mengaplikasikan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025. TS25 adalah satu usaha ke arah melahirkan modal insan unggul melalui;


  •          Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan
  •          Disokong  kepimpinan yang berkualiti / berwawasan
  •          Guru yang kompeten dan beraspirasi tinggi.
  •          Komitmen komuniti yang padu 


Latar Belakang dan Objektif Program Transformasi Sekolah.

Mesyuarat Majlis Ekonomi Bil. 2/2015 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 19 Januari 2015, telah meluluskan cadangan pelaksanaan TS25 KPM. Objektif Program Transformasi Sekolah

antara lain ialah; 

  • Mengaplikasi konsep dan amalan PdP terbaik;
  • Membangunkan kepakaran dalaman melalui latihan yang komprehensif dan berstruktur kepada Pembimbing pedagogi serta pembimbing kepimpinan; dan
  • Membangunkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian  murid.


Isnin, 8 April 2019

SEJARAH SEKOLAH









Sekolah ini mula dibina pada tahun 1954 hasil sumbangan  orang kampung yang sedar akan kepentingan sekolah kepada masyarakat . Hasil dari sumbangan yang berbentuk wang ringgit, bahan binaan dan juga tenaga, sebuah bangunan kayu beratapkan zink telah dapat didirikan dengan cara bergotong-royong. Tidak lama selepas itu kerajaan telah memberikan bantuan sejumlah RM1960.00 dan hasilnya sebuah bangunan berukuran 70 kaki panjang dan 20 kaki lebar telah dapat disiapkan dan telah dirasmikan oleh Nazir Sekolah-Sekolah Melayu Muar pada 11 Januari 1955 dan sekolah ini telah dinamakan sebagai Sekolah Rakyat Parit Kasan dengan jumlah muridnya seramai 150 orang dan tenaga pengajar seramai 6 orang.
Malangnya pada 1 April 1955 sekolah ini telah roboh kerana ditiup angin ribut. Bagaiman pengajaran dan pembelajaran tetap dijalankan di pondok-pondok yang dibina oleh orang kampung secara bergotong-royong dengan bahan-bahan dari kayu gelam, buluh dan atap rembia yang didapati di sekeliling kampung. Dan pada 14 Ogos 1955 kerajaan telah membina semula sebuah bangunan baru. Bangunan baru ini telah dirasmikan oleh En. Khalid Bin Hj. Ahmad selaku Guru Pelawat Sekolah-Sekolah Pasukan Serom, Muar. Pada tahun 1960 sekolah ini telah mendapat bantuan untuk pemasangan siling dan jaring besi. Setahun kemudian sekolah ini telah diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan dan diberikan taraf sekolah bantuan penuh kerajaan.
Pada tahun 1963 sebuah bangunan yang mengandungi 3 buah bilik darjah dan sebuah pejabat telah dibangunkan. Bangunan itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar ketika itu iaitu YAB Allahyarhan Dato' Haji Hasan Bin Yunus. Tidak lama selepas itu Ahli Perlimen Kawasan Ledang YB Dato' Ngah Bin Abd. Rahman telah memberikan peruntukkan sejumlah RM2500.00 bagi pembesaran perpustakaan dan pemasangan elektrik. Pada tahun 1980, Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan sejumlah RM15000.00 bagi pembinaan 3 buah tandas guru dan 4 buah tandas murid beserta 8 sinki basuh tangan. Di masa yang sama YB En. Embong Bin Yahya telah memberikan peruntukkan untuk pembesaran perpustakaan kepada 40 kakilebar dan 16 kaki panjang. Pada tahun 1988, sekolah ini sekali lagi telah mendapat peruntukkan sejumlah RM350,000.00 dan hasilnya sebuah bangunan 2 tingkat terdiri dari 3 buah bilik darjah, sebuah bilik solat, bilik wuduk, tandas murid, pejabat, bilik guru, perpustakaan bilik tayangan dan tandas guru telah disiapkan.